Saturday, August 22, 2009

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH

RAMAI orang menganggap bahawa dengan mengucap dua kalimah syahadah bererti ia tidak akan menjadi kafir. Sebenarnya inilah fahaman sebahagian besar masyarakat pada hari ini. Kerana perkara ini jarang didedahkan kepada orang awam. Mereka hanya mengetahui perkara yang membatalkan wudhuk, puasa, haji, solat dan sebagainya tetapi tidak mengetahui bahawa syahadah yang mereka iqrarkan juga boleh terungkai daripada diri mereka sekiranya mereka melakukan perkara yang dilarang oleh Al-Quran dan Al-Sunnah.

Di antara perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian :

IKTIKAD

1. Iktikad ialah kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam iaitu ;
2. Iktikad bahawa ala mini qadim, tidak ada penciptanya atau alam ini kekal selama-lamanya.
3. Iktikad bahawa pencipta alam ini baharu atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, ataupun mempunyai anak, isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.
4. Iktikad menafikan kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW atau iktikad bahawa hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ialah hokum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman atau iktikad bahawa ada lagi nabi dan Rasul yang akan diutuskan oleh Allah.
5. Iktikad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, tidak ada bangkit sesudah mati, tidak ada perkara yang berlaku padanya.
6. Iktikad agama kafir lebih baik dari agama Islam.
7. Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak atau bercita-cita hendak kafir pada masa akan datang.

PERBUATAN

1. Memperolok-olokkan ibadah menyimpan janggut, solat, hijab yang disyariatkan kepada perempuan, mempersendakan masjid dan ka’abah.
2. Mempersendakan dan menentang sebarang perintah dan tegahan Allah.
3. Mempersendakan seorang Muslim kerana Islamnya ataupun bermusuh dengan seorang mukmin kerana berpegang teguh kepada Allah.
4. Melakukan upacara ibadah terhadap sesuatu makhluk yang disembah olehorang-orang kafir menurut upacara yang dilakukan oleh mereka.
5. Meletakkan ayat-ayat suci, hadith-hadith nabi, nama-nama Tuhan, Rasul-RasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menhina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukumnya tetap haram.

PERKATAAN

1. Iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifatNya, Malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh RasulNya.

2. Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkataan yang sekata alim ulama menthabitkan atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.
Seperti katanya mengenai hukum Islam ;
a) Hukum ini sudah lapuk.
b) Zaman sekarang ini tidak patut dihaamkan riba kerana menghalang kemajuan.
c) Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tidak perlu dibungkus-bungkus.
d) "Berzina kalau suka sama suka apa haramnya".
e) "Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?"
f) "Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya"
g) "Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tidak maju".
h) Berkata : "Perbuatan yang demikian tidak beradab" apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan di jarinya.
i) Berkata "Si anu mula menyalak dah", apabila ia mendengar azan solat.

Selain daripada keterangan di atas, beberapa perkara juga yang boleh membinasakan Iman dan Islam seseorang. Di antaranya ialah :

1. Bertawakkal dan bergantung kepada yang lain daripada Allah SWT.

2. Tidak mengaku nikmat zahir dan maknawi adalah kurniaan Allah SWT.

3. Beramal kerana yang lain daripada Allah SWT.

4. Memberi hak secara mutlak kepada yang lain daripada Allah SWT dari segi mengadakan hukum syarak.

5. Taat kepada yang lain selain Allah SWT.

6. Perasaan benci kepada Islam sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya.

7. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

8. Tidak beriman dengan nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah.

9. Berwala’kan (berketuakan) orang Kafir dan Munafik.

10. Melakukan ibadah atau upacara ibadat yang lain daripada Islam.

11. Mengkafirkan orang-orang Islam atau tidak mengkafirkan orang-orang kafir

12. Menentang hikmat Syariat Allah.

13. Mempersendakan Islam


Sebagai kesimpulannya, tiap-tiap seorang Muslim wajib menjaga iman dan Islamnya dari sebarang iktikad, perbuatan dan perkataan yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam.


(Rujukan: Teks Usrah Peringkat Pengenalan)

2 comments:

  1. Bagus blog ni.penuh maklumat dan informasi..tq

    ReplyDelete
  2. Berhati-hatilah dalam setiap perbuatan...
    jangan sampai kita syirik pada Allah dalam keadaan sedar ataupun tidak...
    nanti amalan kita tak diterima Allah..dah nyata syirik tu menyekutukanNYA.

    ReplyDelete

 

©2009 Akidah | Muslimah Sejati | Dibuat oleh Ct'Skdz